PELAJAR MRSM BETONG TERUJA TEROKA DUNIA PENYELAMATAN BERSAMA APM BETONG

PELAJAR MRSM BETONG TERUJA TEROKA DUNIA PENYELAMATAN BERSAMA APM BETONG

Lawatan sambil belajar dedah realiti operasi kecemasan, dari teknik menyelamat hingga pengendalian ular berbisa

KHAMIS, 23 APRIL 2026

BETONG: Pejabat Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Daerah Betong hari ini menerima kunjungan istimewa daripada pelajar Maktab Rendah Sains MARA (MRSM) Betong dalam satu program lawatan sambil belajar yang penuh informatif dan pengalaman praktikal.

Program ini dianjurkan bagi memberi pendedahan awal kepada para pelajar tentang peranan penting APM dalam aspek keselamatan awam, pengurusan kecemasan serta operasi menyelamat. Sepanjang lawatan, para pelajar diperkenalkan dengan pelbagai fungsi dan tanggungjawab APM sebagai barisan hadapan dalam menghadapi situasi kecemasan.

Pelajar turut didedahkan dengan demonstrasi serta pameran pelbagai peralatan operasi yang digunakan oleh APM. Antaranya termasuk peralatan pertolongan cemas, peralatan menangkap ular, kelengkapan menyelamat di air, enjin bot, penggunaan sistem kecemasan MERS999, teknologi dron serta peralatan ascending dan descending yang digunakan dalam operasi menyelamat di kawasan tinggi.



Lebih mengujakan, para pelajar diberi peluang merasai sendiri pengalaman turun dari bangunan menggunakan teknik ascending dan descending dengan pemantauan rapi anggota APM yang terlatih. Aktiviti ini bukan sahaja mencabar keberanian, malah meningkatkan keyakinan diri dalam menghadapi situasi mencemaskan.

Tidak ketinggalan, sesi pengenalan hidupan liar turut mencuri perhatian apabila pelajar berpeluang memegang sendiri Ular Sawa Batik sambil mempelajari teknik pengendalian reptilia secara selamat dan berhemah.



Program seumpama ini diharap dapat membuka minda para pelajar terhadap kepentingan ilmu keselamatan serta memupuk minat dalam bidang kesukarelawanan dan penyelamatan. Pihak APM Betong turut merakamkan penghargaan kepada MRSM Betong atas kunjungan tersebut dan berharap jalinan kerjasama ini dapat diteruskan demi melahirkan generasi muda yang lebih peka dan bersedia menghadapi cabaran masa hadapan.

UNTUK LAIN-LAIN BERITA:

IKUTI/FOLLOW:

FACEBOOK/TIKTOK/INSTAGRAM: APMSARAWAK

Ulasan

Catatan popular daripada blog ini

KEBAKARAN DI KAMPUNG WIRELESS MIRI