ULAR SAWA BATIK 16 KAKI BERJAYA DITANGKAP APM SARATOK

PENDUDUK GEMPAR

ULAR SAWA 16 KAKI

MUNCUL DI PARIT RUMAH

 SARATOK : JUMAAT, 21 NOVEMBER 2025


SARATOK : Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Daerah Saratok berjaya menangkap seekor ular sawa batik sepanjang kira-kira 16 kaki dalam satu operasi di Perumahan Jalan Malong awal pagi tadi.

Menurut APM Saratok, Bilik Gerakan menerima panggilan kecemasan daripada seorang penduduk awam pada jam 6.18 pagi, memaklumkan terlihat kelibat seekor ular besar di depan parit rumahnya. Pengadu, dikenali sebagai Izzul, melaporkan kejadian sebaik menyedari kehadiran reptilia tersebut berhampiran kediamannya.

Pasukan APM yang terdiri daripada empat anggota bergegas ke lokasi pada jam 6.20 pagi dan tiba 10 minit kemudian. Operasi pencarian dijalankan serta-merta sebelum anggota berjaya mengesan ular tersebut di kawasan parit berhampiran rumah pengadu.

Dengan menggunakan peralatan seperti penjerut ular, penyepit, kotak ular serta kelengkapan keselamatan, pasukan APM berjaya menangkap ular sawa batik berkenaan pada jam 6.38 pagi dengan teknik menjerut dan menyepit.



APM Saratok memaklumkan bahawa sepanjang operasi dijalankan, semua anggota berada dalam keadaan selamat dan tiada kemalangan jiwa atau kecederaan dilaporkan. Keadaan kawasan kejadian juga telah diperiksa dan disahkan selamat sebelum pasukan beredar pada jam 6.40 pagi.

Keseluruhan operasi selesai apabila pasukan tiba semula di Pejabat Kawalan Operasi Daerah (PKOD) pada jam 7.00 pagi. Semua peralatan yang digunakan berada dalam keadaan baik dan sedia digerak atur semula.

Laporan ini disediakan oleh Pbt (PA) Muaari PeterJohn Tampakrita Anak Peter, disemak oleh Pbt (PA) Angkau Anak Christopher Umbol, dan disahkan oleh Lt. (PA) Nur Athirah Binti Batu, Pegawai APM Daerah Saratok.



APM berharap agar kejadian ini dapat meningkatkan kesedaran dalam kalangan penduduk untuk sentiasa berwaspada terhadap pergerakan haiwan liar, khususnya di kawasan perumahan yang berhampiran dengan semak atau sistem perparitan. 

Pihak APM menasihati penduduk agar tidak mengambil tindakan sendiri sekiranya ternampak haiwan berbahaya, sebaliknya segera menghubungi pihak berkuasa bagi memastikan keselamatan diri, keluarga serta komuniti setempat. 

APM juga percaya bahawa kerjasama berterusan antara penduduk dan agensi keselamatan akan membantu memastikan kawasan perumahan kekal aman, terkawal dan bebas daripada sebarang ancaman berisiko.


UNTUK LAIN-LAIN BERITA:

IKUTI/FOLLOW:

FACEBOOK/TIKTOK/INSTAGRAM: APMSARAWAK

Ulasan

Catatan popular daripada blog ini

KEBAKARAN DI KAMPUNG WIRELESS MIRI