KEBAKARAN MUSNAHKAN 30 PINTU RUMAH DI PULAI RIAN SANGAN, SEORANG LELAKI DITEMUI MENINGGAL DUNIA
KEBAKARAN MUSNAHKAN 30 PINTU RUMAH DI PULAI RIAN SANGAN, SEORANG LELAKI DITEMUI MENINGGAL DUNIA
TATAU: JUMAAT, 26 DISEMBER 2025
TATAU: Satu kejadian kebakaran besar telah berlaku di Pulai Rian Sangan, Daerah Tatau, awal pagi tadi yang mengakibatkan 30 pintu rumah terjejas sepenuhnya, dengan seorang mangsa lelaki dewasa disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian.
Menurut laporan Pusat Kawalan Operasi Daerah (PKOD) Tatau), pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian tersebut pada jam 11.28 malam, 25 Disember 2025, hasil maklumat daripada orang awam.
Susulan itu, Skuad Alpha Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Tatau yang diketuai oleh PBT (PA) Muhd Qairul Qayyum Bin Jukri telah digerakkan ke lokasi kejadian pada jam 11.30 malam menggunakan sebuah kenderaan persendirian.
Pasukan APM tiba di lokasi pada jam 12.15 tengah malam, dan mendapati sebuah rumah telah hangus terbakar sepenuhnya, dengan api berpotensi merebak ke kediaman berhampiran. Anggota APM bersama Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) segera menjalankan kerja-kerja pemadaman bagi mengawal keadaan.
Hasil pemantauan di lokasi mendapati sebanyak 30 pintu rumah terlibat, dan sebuah rumah musnah 100 peratus dalam kejadian tersebut. Pada jam 12.35 pagi, Skuad Charlie turut tiba bagi membantu operasi dengan kekuatan empat anggota.
Pada jam 2.35 pagi, pihak operasi mengesahkan seramai 83 orang mangsa melibatkan 16 Ketua Isi Rumah (KIR) terjejas akibat kebakaran tersebut.
Bagaimanapun, selepas operasi pemadaman selesai dijalankan, pihak berkuasa telah menemui seorang mangsa lelaki dewasa disahkan meninggal dunia di tempat kejadian. Punca kebakaran masih dalam siasatan oleh pihak berkaitan.
Pihak berkuasa memaklumkan bahawa maklumat lanjut akan dikemas kini dari semasa ke semasa setelah siasatan penuh dijalankan.Sebarang kejadian kecemasan hendaklah segera dilaporkan kepada pihak berkuasa bagi memastikan tindakan pantas dapat diambil. Kerjasama semua pihak amat penting bagi menjamin keselamatan dan kesejahteraan komuniti setempat.
.jpeg)



Ulasan
Catat Ulasan