APM SERIAN PERKASA KESIAPSIAGAAN KOMUNITI SUSULAN KEJADIAN TANAH RUNTUH DI TEBEDU

APM SERIAN PERKASA KESIAPSIAGAAN KOMUNITI SUSULAN KEJADIAN TANAH RUNTUH DI TEBEDU

SERIAN: SABTU, 20 DISEMBER 2025


SERIAN: Susulan kejadian tanah runtuh di Kampung Gahat Mawang, Tebedu akibat hujan lebat berterusan, Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Daerah Serian telah dijemput untuk menjadi penceramah untuk Ceramah Pertahanan Awam (CPA) dan Taklimat Persediaan Menghadapi Banjir bagi meningkatkan tahap kesiapsiagaan komuniti setempat terhadap risiko bencana.

Ceramah dan taklimat tersebut telah diadakan pada 20 Disember 2025 (Sabtu) bertempat di Dewan Komuniti Kampung Hilir Serian, bermula jam 10.00 pagi, melibatkan 25 peserta daripada Kawasan Rukun Tetangga (KRT) Bahagian Serian. Program ini telah dikendalikan oleh 02 orang pegawai kontrak KP1 APM Serian dengan penekanan kepada persediaan awal, tindakan keselamatan serta langkah-langkah menghadapi bencana banjir dan kejadian berkaitan cuaca ekstrem.


Terdahulu, pada 15 Disember 2025 (Isnin), APM Daerah Serian telah melaksanakan pemantauan kawasan tanah runtuh di Kampung Gahat Mawang, Tebedu susulan hujan lebat yang berlaku pada 14 Disember 2025 dari jam 4.00 petang hingga 6.30 petang. Operasi pemantauan yang dijalankan dari jam 4.15 petang hingga 7.00 malam melibatkan 05 anggota LLP APM Serian dengan sokongan sebuah kenderaan Hilux APM Serian.

Hasil pemantauan mendapati kejadian tanah runtuh tersebut telah menjejaskan sebuah rumah melibatkan satu Ketua Isi Rumah (KIR), di mana sebahagian struktur rumah roboh dan dinding kediaman mengalami keretakan serius. Keadaan rumah didapati tidak selamat untuk didiami, dan mangsa telah diarahkan berpindah sementara ke rumah saudara terdekat sebagai langkah keselamatan.

Pihak APM mengesahkan bahawa tiada kemalangan jiwa dilaporkan, situasi di lokasi berada dalam keadaan terkawal dan tiada pemindahan ke Pusat Pemindahan Sementara (PPS) dilakukan setakat ini. Pemantauan berkala akan diteruskan bagi memastikan keselamatan penduduk sentiasa terjamin.

Ceramah ini mencerminkan pendekatan menyeluruh APM Daerah Serian yang bukan sahaja bertindak balas terhadap kejadian bencana, malah menekankan aspek pencegahan, pendidikan dan kesiapsiagaan komuniti demi keselamatan penduduk setempat, selaras dengan aspirasi Malaysia Madani.


UNTUK LAIN-LAIN BERITA:

IKUTI/FOLLOW:

FACEBOOK/TIKTOK/INSTAGRAM:


Ulasan

Catatan popular daripada blog ini

KEBAKARAN DI KAMPUNG WIRELESS MIRI