HUJAN LEBAT BERTERUSAN : KAWASAN RENDAH DI ANCAM BANJIR

​PEMANTAUAN BANJIR 

DIAKTIFKAN DI KAWASAN

BERISIKO


BETONG : SABTU, 22 NOVEMBER 2025


Betong, 22 November 2025 (Sabtu) — Skuad Monsun Timur Laut (MTL) Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Betong terus mempertingkatkan kesiapsiagaan menghadapi Monsun Timur Laut apabila melaksanakan pemantauan khusus di kawasan yang dikenal pasti sebagai lokasi berisiko tinggi berlakunya banjir susulan hujan lebat berterusan sejak beberapa hari lalu.




Pemantauan ini merupakan sebahagian daripada langkah proaktif APM dalam memastikan keselamatan penduduk di kawasan pedalaman khususnya di laluan utama yang sering terjejas apabila paras air meningkat. Seramai tiga anggota APM Betong telah digerakkan ke Jalan Rumah Panjang Duri Bangat, Betong, yang merupakan antara hotspot banjir setiap kali musim monsun tiba.





Menurut pasukan pemantau, air di laluan menuju ke rumah panjang telah meningkat sehingga dua kaki, dipercayai akibat curahan hujan berterusan sejak petang semalam. Walaupun keadaan masih terkawal, situasi ini berpotensi berubah sekiranya hujan lebat kembali berlaku dalam tempoh terdekat.


Pasukan APM Betong turut memaklumkan bahawa pemantauan dari masa ke masa akan diteruskan bagi memastikan maklumat terkini dapat disalurkan dengan cepat kepada penduduk dan pihak berkuasa berkaitan. Tindakan awal amat penting bagi mengelakkan sebarang risiko yang boleh mengancam keselamatan komuniti setempat, terutama warga emas, kanak-kanak dan penduduk rumah panjang yang bergantung pada laluan darat sebagai akses utama.




APM Betong juga menasihatkan penduduk agar sentiasa peka terhadap keadaan cuaca semasa, mengikuti amaran rasmi daripada agensi berkaitan serta mengelakkan melalui kawasan yang dinaiki air walaupun pada paras rendah. Kerjasama masyarakat setempat amat penting dalam memastikan operasi kesiapsiagaan bencana dapat dilaksanakan dengan lancar.


Orang ramai yang memerlukan bantuan atau menghadapi kecemasan disarankan menghubungi talian APM Betong di 083-472861 atau talian kecemasan 999 untuk bantuan segera.


UNTUK LAIN-LAIN BERITA

IKUTI/FOLLOW

FACEBOOK/TIKTOK/INSTAGRAM : APMSARAWAK


Ulasan

Catatan popular daripada blog ini

KEBAKARAN DI KAMPUNG WIRELESS MIRI